Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan umat Islam di seluruh negara melakukan solat sunat hajat bagi menghadapi fenomena El Nino dan gelombang haba.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MosTI) pada 17 Mac lalu mengenai cuaca panas melanda negara kini berpunca daripada fenomena El Nino.

"Saya menyeru umat Islam di negara ini dan masjid di seluruh negara agar dapat mengadakan solat hajat pada 25 Mac (esok) selepas menunaikan solat Jumaat.

"Ia bertujuan memohon supaya terhindar daripada kesan kepanasan melampau seperti strok haba dan keadaan cuaca di negara kita kembali pulih seperti sediakala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Othman berkata, beliau turut meminta masjid utama di bawah kelolaan Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi menunaikan solat hajat tersebut.

"Saya menasihatkan agar kita sentiasa peka dan mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak penyahidratan seperti memperbanyakkan minum air kosong.

"Kita juga perlu mengurangkan minuman manis atau berkafein yang boleh meningkatkan pengeluaran air dari badan dan meningkatkan pengambilan makanan mengandungi banyak air seperti buah-buahan dan sayur-sayuran," jelasnya.

Tambah beliau, dengan pelaksanaan solat hajat tersebut diharap akan diberkati Ilahi serta dapat memulihkan cuaca di Malaysia.