Pengurus operasi kilang didakwa menceroboh lokap
Seorang pengurus operasi kilang elektronik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan menceroboh lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Ham Mohd Noor, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin.
Dia didakwa menceroboh lokap di Kompleks Mahkamah Kota Bharu tanpa izin anggota polis yang bertugas pada 21 Mac lepas mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.
Mohd Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 6 April ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama

