Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) menyasarkan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 akan datang sebagai tambahan kepada lima yang menjadi miliknya sekarang.

Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ialah Tasik Biru, Pakan, Marudi, Bekenu dan Batu Danau.

"Kami menjangka akan dapat mengekalkan kesemua lima kerusi itu dan berusaha untuk mendapat lebih banyak lagi. Kami mempunyai orang yang berkemampuan, yang kami didik sejak sekian lama," kata Presiden TERAS dan Menteri Pembangunan Sosial negeri, Tan Sri William Mawan.

Anggota Dewan Undangan Negeri berkenaan memenangi kerusi masing-masing atas tiket Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)- Barisan Nasional pada pilihan raya negeri lepas sebelum menyertai Mawan dalam TERAS.

Mawan, yang juga anggota Parlimen Saratok, berkata beliau sedang menimbang untuk melepaskan kerusi negeri Pakan yang disandangnya, tetapi menyerahkan perkara itu untuk diputuskan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Adenan belum menamakan calon bagi kerusi Pakan, walaupun telah mengumumkan Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang masing-masing akan mempertahankan kerusi Bekenu dan Bukit Kota yang mereka sandang.

Mawan berkata ketua menteri mungkin ingin benar-benar pasti tentang keputusan yang akan diambilnya.

"Bagaimanapun, akhirnya ia akan diumumkan juga dan terserahlah sepenuhnya kepada Ketua Menetri untuk memilih siapa yang patut mewakili BN bagi kerusi itu, termasuk anak lelaki saya sendiri," katanya kepada pemberita hari ini selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar berjumlah RM718,000 kepada 32 pertubuhan bukan kerajaan, termasuk badan sukan.

Sebelum ini, beliau menyebut anak lelakinya sebagai antara beberapa calon muda berpotensi yang dididik untuk bertanding bagi kerusi negeri bagi mewakili BN.

Mengenai spekulasi bahawa beliau akan menyandang jawatan dalam Kabinet persekutuan, Mawan berkata perkara itu adalah prerogatif perdana menteri dan ketua menteri untuk memutuskannya.

"Saya tidak mahu melangkau mereka, tapi sekarang, saya benar-benar serius untuk melepaskan kerusi negeri saya dan memberi tumpuan kepada kerusi parlimen saya, tapi hal ini terserahlah kepada Ketua Menteri untuk menguruskannya," katanya.

Apabila terus ditanya tentang pelantikan sebagai anggota kabinet persekutuan, Mawan berkata: "Bagaimanapun, saya memerlukan kerja dan pendapatan untuk hidup... saya bukan ahli perniagaan.

Mawan juga menyatakan keyakinannya bahawa Sylvester Entri Muran dan Datuk Peter Nansian Ngusie dari TERAS akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Marudi dan Tasik Biru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS