ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon menjadi mangsa terbaru yang akan disiasat di bawah undang-undang lapuk, Akta Hasutan (1948).

Lee semalam menerima surat daripada ASP Hassan Mohamad Salih dari Jabatan Siasatan Jenayah, meminta beliau untuk hadir di Balai Polis Bukit Mertajam pada 29 Mac, jam 10 pagi.

Ketika dihubungi, Lee mengesahkan penerimaan surat itu dan berkata beliau akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan, tetapi sebab-sebab siasatan tidak dinyatakan.

"Memang benar. Saya tidak mempunyai butiran, tetapi mungkin disebabkan oleh kenyataan akhbar saya yang membidas polis kerana menanggalkan papan iklan #BebasAnwar di Selangor," kata Lee kepada Malaysiakini .

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Mac, Lee mendakwa polis dijadikan "alat" oleh sesetengah pihak.

Sambil mendakwa tindakan polis itu sebagai "tidak profesional" beliau menyelar mereka kerana menurunkan papan iklan di Selangor.

Lee mempersoalkan mengapa begitu ramai anggota polis dikerahkan untuk merampas tiga papan iklan dan bertanya, "Adakah papan iklan lebih mengancam daripada penjenayah?"

Lee juga mendakwa polis mengamalkan dwi standard dalam menjalankan penguatkuasaan kerana jarang bertindak berhubung aduan mengenai pusat perjudian dan ancaman keselamatan yang lain.

"Tetapi papan iklan yang mendapat kelulusan pihak majlis tempatan Selangor diturunkan," kata Lee yang juga adalah setiausaha penganjur PKR Pulau Pinang.

[Baca berita penuh]