Indeks harga pengguna Malaysia pada Februari meningkat kepada paras tertinggi dalam tujuh tahun dan naik sebanyak 4.2 peratus kepada 114.5 berbanding 109.9 pada bulan sama tahun lalu.

Data kerajaan hari ini juga menunjukkan kadar inflasi itu adalah tertinggi sejak Disember 2008 apabila ia mencecah paras 4.4 peratus.

Peningkatan itu disebabkan oleh kos lebih tinggi bagi barangan makanan dan pengguna, menurut data daripada Jabatan Perangkaan.

Indeks harga pengguna adalah di atas ramalan median sebanyak 4.0 peratus menurut tinjauan Reuters dan naik daripada 3.5 peratus pada bulan Januari.

Bank Negara mempunyai sasaran inflasi antara 2.5 hingga 3.5 peratus tahun ini.

Bank pusat itu berkata berkata inflasi Januari itu dijangka memuncak pada suku pertama tahun ini sebelum menjadi sederhana berikutan harga tenaga dan komoditi yang berterusan rendah.

- Reuters

Sementara itu, Bernama melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2016 naik sebanyak 4.2 peratus kepada 114.5 berbanding 109.9 pada bulan sama tahun lepas berikutan peningkatan dalam kesemua 12 kumpulan utama.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan IHP itu disebabkan kenaikan kumpulan minuman beralkohol dan tembakau sebanyak 22.6 peratus, pelbagai barangan dan perkhidmatan (+5.2 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.8peratus).

Turut meningkat adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+4.7 peratus), restoran dan hotel (+4.7 peratus) manakala kesihatan (+4.5 peratus).

Menurut jabatan itu, inflasi teras naik 3.6 peratus pada Februari 2016 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Inflasi teras itu berbeza daripada IHP keseluruhan kerana pengukuran inflasi teras tidak meliputi harga barangan dan perkhidmatan yang dipengaruhi turun naik harga bersifat sementara dan tidak mempunyai impak kekal kepada aliran asas inflasi.

Ini termasuk sembilan barangan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan perkhidmatan harga yang dikawal, katanya.

Inflasi teras itu digunakan sebagai panduan operasi dasar monetari dalam menilai hala tuju inflasi.

Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, IHP Februari 2016 kekal tidak berubah pada 114.5.

Menurut jabatan itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari 2016 mencatat kenaikan sebanyak 3.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang didorong peningkatan kumpulan utama berwajaran tinggi iaitu indeks makanan dan minuman bukan alkohol (+4.3peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.9peratus) manakala pengangkutan (+2.1peratus).