Ibrahim bangga dianggap setaraf calon presiden Amerika
Disamakan dengan Donald Trump, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali tidak melihatnya sebagai kejian, sebaliknya satu pengiktirafan.
Ibrahim berkata beliau menerima gelaran itu dengan senang hati kerana ia “membantu meningkatkan nama negara Malaysia menjadi lebih terkenal”.
“Ha, ha, satu pengiktirafan yang tidak terduga tapi saya terima dengan senang hati. Maknanya saya setaraf dengan calon-calon presiden Amerika.
"Ini juga membantu meningkatkan nama negara Malaysia menjadi lebih terkenal.
“Saya sungguh-sungguh teruja. Dan sememangnya saya kagum dengan Donald Trump kerana Donald Trump bukan manusia hipokrit.
“Donald Trump jenis cakap terus terang,tidak berbelit dan direct to the point iaitu sama seperti Ibrahim Ali Malaysia,” katanya.
Jazlan ketika merasmikan sebuah zamalah perpaduan belia di ibu negara mengkritik demokrasi Amerika Syarikat yang kini mempertimbang individu didakwa perkauman sebagai calon presiden.
Beliau secara berseloroh menggelarkan calon presiden dari parti Republican Donald Trump sebagai “Ibrahim Ali of America”.
Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim berkata beliau dan Trump masing-masing berkongsi sikap tidak hipokrit dalam politik.
“Donald Trump juga tidak pernah cakap depan lain dan belakang lain. Dia tidak malu memperkatakan sesuatu apa yang difikirkan betul, tidak berpura-pura dan tidak pembohong.
“Ertinya Dnald Trump adalah tokoh tidak hipokrit dan saya Ibrahim Ali sudah lama menggunakan motto perjuangan antihipokrit,” katanya.
Trump, calon parti Republikan sebelum ini dikritik seluruh dunia sebagai perkauman selepas mengeluarkan kenyataan untuk melarang orang Islam memasuki Amerika Syarikat.
Trump juga berjanji untuk membina tembok sepanjang sempadan Mexico untuk mengelakkan pendatang tanpa izin.

