Kira-kira 50 Pemuda BN Pulau Pinang hari ini mengadakan demonstrasi di tapak kontroversi Taman Manggis, berhampiran Jalan Burmah untuk menuntut tanah berkenaan dibangunkan untuk perumahan awam bagi golongan miskin.

Kumpulan itu, yang termasuk ahli NGO ultra Melayu seperti Gerakan Merah Malaysia dan PERKASA melimpah ke jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Mereka turut membawa pelbagai sepanduk yang mengecam pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan melaungan slogan anti-DAP sambil mengibarkan sepanduk masing-masing.

Turut kelihatan adalah Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim, Ketua Pemuda BN negeri H'ng Chee Way, Ketua Gerakan Merah Malaysia Ali Baharom yang juga dikenali sebagai Ali Tinju dan Ketua Pemuda PERKASA negeri Rizuad Azzudin.

Antara mesej di kain rentang itu termasuk “Lim Guan Eng perampas tanah rakyat termiskin" dan “Lim Guan Eng wajib berehat”.

Polis kemudiannya menghalang mereka daripada berarak dan berhimpun di jalan dan pemimpin mereka sebaliknya mengadakan satu sidang akhbar.

Kumpulan itu mahu Lim bercuti sementara siasatan dijalankan ke atas pembelian sebuah banglo miliknya di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta yang didakwa di bawah harga pasaran dan terlibat dengan sebuah projek di kawasan Taman Manggis.

Bekas pemilik banglo, seorang ahli perniagaan Phang Li Koon sebelum ini membuat akuan bersumpah (SD) bahawa penjualan rumah itu adalah secara rela dan dan menafikan sebarang kaitan dengan sebuah syarikat yang mempunyai urusan dengan kerajaan negeri mengenai sebuah projek di Taman Manggis.

[Baca berita penuh]