Nilai semasa hartanah di sekitar kawasan Green Lane di sini dianggar bernilai RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi, bergantung kepada keadaan rumah.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan itu termasuk Jalan Cheeseman, Halaman Free School, Jalan Pinhorn dan Jalan Masjid Negeri mendapati kebanyakan rumah dengan keluasan antara 3,000 dan 6,000 kaki persegi ditawarkan pada harga RM1.6 juta hingga lebih RM5.6 juta.

Ini bererti banglo berkeluasan 10,161 kaki persegi yang dibeli Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn mempunyai harga pasaran jauh lebih tinggi daripada RM2.8 juta yang dibayarnya.

Jika dibahagikan mengikut kaki persegi, banglo itu dijual dengan harga RM276 sekaki persegi.

Sedangkan harga semasa yang ditawarkan melalui laman web mudah.my untuk banglo berkembar setingkat atau rumah berkembar dua tingkat di kawasan itu ialah antara RM400 hingga lebih RM900 sekaki persegi bergantung kepada keadaan rumah yang ingin dijual itu.

Berdasarkan harga RM400 bagi satu kaki persegi yang ditawarkan melalui iklan di laman web itu, sebuah rumah banglo dengan keluasan lebih 10,000 kaki persegi akan bernilai lebih RM4 juta.

Seorang rakan kongsi kanan syarikat penilaian berdaftar Raine & Horne, Michael Geh, berkata mengikut data transaksi jualan hartanah dari Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, hartanah di kawasan itu dijual pada harga RM2.8 juta hingga RM3.6 juta pada 2014 dan 2015.

"Walaupun nilai hartanah di kawasan itu agak mahal berbanding tempat lain namun, ia diminati pembeli kerana kawasannya agak eksklusif, kejiranannya bersih dan jalan tidak sibuk," katanya.

- Bernama