Mangsa buli yang dipaksa memotong lidah sendiri, Muhammad Alif Shukran, 8, menjelaskan pembulinya terdiri daripada lima murid tahun tiga yang memakai topeng kertas ketika kejadian.

Pada kejadian kira-kira jam 3.45 petang di sebuah sekolah rendah di Bukt Tinggi, Klang Khamis lalu, Muhammad Alif mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga ketika waktu rehat.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia mahu keluar dari tandas dan tiba-tiba ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.

"Saya terpaksa mengikut arahan mereka kerana takut ditumbuk," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia , hari ini.

Selepas mengguting lidahnya, Muhammad Alif berlari ke kelas dalam keadaan berlumuran darah, manakala kesemua murid tersebut melarikan diri.

Anak kepada pasangan Alias Abdullah dan Siti Nurhuda Ibrahim itu mendakwa, dia sebelum ini sering dibuli termasuk ditumbuk oleh murid-murid lain.

Sementara itu ibu mangsa, Siti Nurhuda berkata, 29, berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 6 petang.

Dia terus bergegas ke sekolah dan menghantar Muhammad Alif ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan lidah anaknya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

"Doktor mengesahkan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana sebahagian kecil yang terpotong, tetapi bahagian itu tidak akan tumbuh semula.

"Keadaannya anak saya stabil dan tidak takut ke sekolah, tetapi hanya boleh makan makanan lembut dan minum menggunakan penyedut," katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti murid terlibat serta punca kejadian.