RM4 juta untuk telaga tiub musim kemarau
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM4 juta bagi menyediakan telaga tiub sebagai usaha menyelesaikan masalah pengairan dihadapi petani ketika musim kemarau.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ( gambar ) berkata telaga itu akan dibina di beberapa negeri antaranya Kedah, Perlis, Kelantan dan Pahang dengan menggunakan kaedah menyedut air daripada bawah tanah yang berupaya mengalirkan air ke kawasan pertanian setiap kali tiba musim kering.
"Kita akui fenomena (El Nino) panas melampau ini sedikit sebanyak menjejaskan pengeluaran pertanian kita antaranya tanaman bermusim dan ternakan ikan dalam sangkar.
"Tetapi kita sudah bersedia awal dengan pelbagai tindakan bagi menghadapi masalah ini dan sedang memantau dengan terperinci fenomena ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di Kuantan, Ahad.
Selain itu, Tajuddin berkata pihaknya juga mengenal pasti langkah lain untuk memastikan nasib petani dan pendapatan golongan berkenaan tidak terjejas akibat keadaan cuaca panas melampau yang sedang berlaku sekarang.
Beliau berkata bagaimanapun bekalan hasil pengeluaran pertanian negara belum terjejas sampai ke tahap kritikal setakat ini biarpun terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca panas melampau.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata nilai jualan di 34 pasar tani di seluruh negeri ini telah mencatatkan RM52 juta tahun lepas iaitu melepasi sasaran sebanyak RM50 juta.
"Untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, nilai jualan di pasar tani ini sudah mencapai RM11 juta dan kita merancang hendak buka empat lagi pasar tani di Pahang," katanya.
Katanya satu daripada empat pasar tani baharu itu sudah mula beroperasi di Pekan manakala tiga lagi di Kuantan, Bentong dan Temerloh masih dalam proses pelaksanaan.
- Bernama

