Pergerakan Puteri UMNO Sabah berikrar untuk menyokong penuh dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri.

Ketua Puteri UMNO Sabah Normala Rasik berkata ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat pergerakan puteri itu di Kota Kinabalu, yang dipengerusikan beliau.

"Dalam mesyuarat ini, Puteri UMNO Sabah juga membantah serta menolak sekeras-kerasnya gerakan yang didalangi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin pembangkang termasuk DAP dan PKR dalam 'Deklarasi Mahathir' yang bertujuan untuk menjatuhkan perdana menteri.

"Ia (Deklarasi Mahathir) jelas bertentangan dengan amalan demokrasi negara," tegasnya.

Sehubungan itu, Normala berkata Puteri UMNO Sabah mengesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap dalang gerakan 'Deklarasi Mahathir' yang mengancam sistem demokrasi berparlimen serta boleh mengakibatkan implikasi negetif terhadap keharmonian negara.

"Puteri UMNO Sabah mengusulkan agar Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersidang segera bagi membincangkan tindakan tegas terhadap pemimpin dan anggota parti yang terlibat dalam 'Deklarasi Mahathir' atau mana-mana aktiviti yang membelakangkan kepentingan parti serta kerajaan," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Zahida Zarik Khan berkata Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dengan kerjasama Puteri UMNO Sabah akan mengadakan kempen daftar pemilih dan keahlian pada 9 April ini.

Beliau berkata kempen itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negera dan Sabah akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran yang akan diadakan di perkarangan sebuah pusat membeli belah di Sandakan.

"Program bermula 10 pagi itu dijangka dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan diserikan dengan pelbagai acara seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma, aktiviti kebudayaan, taklimat kerjaya dan sukaneka," katanya.

- Bernama