Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengingatkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa rahsia negara tidak sama dengan 'rahsia penyangak'.

Berucap semasa merasmikan Kongres Rakyat di Shah Alam hari ini Zaid berkata golongan 'penyangak' dan sekutu mereka harus dipenjarakan serta sekiranya boleh dihukum penjara seumur hidup.

Beliau mengulas pengumuman Apandi bahawa Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan diperkukuhkan supaya pemberi maklumat dipenjara seumur hidup.

Zaid hari ini tidak menyebut sebarang nama tetapi jelas kenyataan beliau merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sementara itu, Zaid berkata, selain menolak perdana menteri, pemimpin yang bersekongkol dengan skandal melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Razak juga perlu ditolak.

Mereka ini, katanya, memegang jawatan tinggi dalam parti-parti politik serta memegang jawatan dalam kerajaan. Mereka juga katanya, kononnya menolak rasuah dan mahukan Islam tetapi sebenarnya sukakan rasuah.

Orang-orang seperti itu, katanya adalah sebahagian daripada mereka yang 'memakan dedak' (boleh dibeli).

Najib sebelum ini secara berterusan menafikan sebarang salah laku berhubung derma politik berjumlah RM2.6 bilion dan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Zaid, sementara itu menggesa semua pemimpin yang hadir di majlis itu untuk untuk turun bertemu masyarakat di luar bandar khusus di kawasan kampung bagi memberikan penjelasan.

Ini, katanya, adalah kerana penduduk kampung bimbang dan keliru terhadap perubahan yang mahu dilakukan gerakan itu.