Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak menjawab secara langsung sama ada bersedia bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan soal penyingkiran perdana menteri.

Tegasnya ketua pembangkang, agenda untuk membetulkan “kepincangan” dalam negara lebih penting.

"Bukan soal itu (perjumpaan), soalnya ialah kita perlu ada agenda untuk betulkan kepincangan yang berlaku dalam negara.

"Jumpa atau tidak jumpa, itu adalah tidak berkenaan," katanya kepada pemberita di sebuah pusat membeli belah di ibu negara semasa bertemu dengan kumpulan antibauksit.

Katanya, wakil PKR seperti Timbalan Presiden Azmin Ali dan Naib presiden Rafizi Ramli sudah pun berjumpa dengan Mahathir.

"Isu kita adalah untuk reformasi instutusi dan bebas Anwar, bukan saja nak menukar seseorang.

"Asalkan kita semua ada satu matlamat sama, kita sedia bekerjasama," katanya.

Mahathir semalam berkata beliau bersedia bertemu dengan Wan Azizah bagi membincangkan cara untuk menyingkirkan Najib.