Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie tak risau dipecat, tapi takut Umno hilang kuasa

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Afdal menafikan dakwaan beliau mengambil sikap berhati-hati dalam setiap perkara yang melibatkan kepimpinan parti itu bagi mengelak dipecat dari jawatan yang disandangnya kini.

Sebaliknya, bekas menteri kemajuan luar bandar itu menegaskan beliau tidak akan digugurkan dari jawatannya sebelum ini jika bersikap seperti yang didakwa.

"Kalau saya bersikap berhati-hati tidaklah saya dibuang dari kabinet. Kamu tidak masuk dalam mesyuarat, jadi kamu tidak tahu apa yang saya nyatakan dalam kabinet," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program santai dan sesi penerangan isu semasa di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, lewat malam semalam.

Malah, ketika diminta mengulas lanjut apakah beliau bimbang akan dipecat Shafie berkata tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

"Risau pasal apa? Saya tidak risau dan jangan bimbang sangatlah," kata Shafie ringkas.

Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan bekas menteri kemajuan luar bandar itu kini adalah Umno semakin hilang kuasanya.

"Ketakutan saya bila hilang kuasa, saya tidak takut hilang jawatan kerana sudah biasa.

"Tetapi yang saya bimbang adalah apabila kuasa hilang, jauh lebih berat. Kita hilang jawatan tak mengapa kita yang terasa tapi kalau hilang kuasa semua merasa," kata Shafie.

Kata Shafie, beliau bertungkus lumus berkempen di Selangor namun Umno-BN gagal meraih sokongan pengundi di negeri termaju itu.

Malah, Shafie berkata perkara sama pernah berlaku di Sabah hingga menyebabkan empat kerajaan berubah di negeri di bawah bayu itu.

Justeru beliau menyeru kerajaan menjaga mandat dan kuasa yang diberikan rakyat.

"Empat kerajaan berubah di Sabah dan ia bukan senang. Dah ada kuasa jaga kuasa dengan baik kerana kuasa datangnya bukan dari atas tapi dari bawah, dari akar umbi.

"Jadi dengar suara dan rintihan rakyat jangan tak dengar. Itu yang penting," kata Shafie.

Sementara itu mengulas deklarasi rakyat yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Shafie berkata bekas perdana menteri itu berpandangan jauh.

"Orang tua (Mahathir) ini jauh pandangan dia, sekarang dia sokong tak akan pilihan raya nanti Kit Siang tak sokong...Kit Siang mesti sokong kita.

"Bukan Mahathir sokong Kit Siang tetapi dia membuka mata dunia Kit Siang yang sokong dia tau, itu yang dia tak keluar Umno dan masuk pembangkang," ujar Shafie.

Malah, apa yang dilakukan pemimpin veteran Umno itu dibuat mengikut proses yang sepatutnya.

"Saya tahu Tun M ini sudah melalui proses dia begitu juga dengan Najib dan perkara itu diceritakan kepada kita.

"Mahathir ini dia nasihat dan tegur sama seperti apa yang berlaku kepada Pak Lah, dia panggil di rumah beri nasihat maklumkan perkara ini betul dan itu tak betul," jelas Shafie.

Katanya lagi, ada perkara yang dekat dengan hati Mahathir beliau akan tegur khususnya 1MDB kerana ia bukan soal RM2.6 bilion tetapi masalah berbangkit melibatkan keyakinan rakyat.

"Kalau masalah itu boleh menghakis keyakinan bukan 1 atau 2 bilion, nak pulihkan keyakinan ini bukan semudah itu.

"Itu kebimbangan Tun Mahathir, beliau beritahu gunakan duit secukupnya dan jangan kita belanja duit yang kita tak mampu nak dapatkan duit itu kembali," ujar Shafie.

Kata Shafie, deklarasi itu bukan soal Mahathir atau Umno tetapi rakyat dan bukan rakyat Umno sahaja, ia deklarasi rakyat keseluruhan yang membatasi idealogi politik.

"Bayangkan jika tindakan Mahathir membawa lori ke istana ini berjaya, pilihan raya ke-14, Kit Siang tak akan ada lagi perkara beliau akan dibisingkan," kata Shafie.

Gerakan yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan Kongres Rakyat di Shah Alam, semalam yang menyaksikan 19 pemimpin mengambil bahagian dengan menyatakan sebab mengapa Najib mesti berundur.

Gerakan yang diketuai Mahathir itu juga semalam menggesa orang ramai menandatangani Deklarasi Rakyat tanpa takut akan akibatnya.

Lihat Komen
ADS