Peserta kempen anti Bauksit iaitu kumpulan #red2green yang berjalan kaki bermula dari Beserah, Pahang tiba di perkarangan pagar utama Parlimen demi membantah pencemaran alam sekitar di negeri itu.

Mereka telah berjalan sejauh 340km selama 17 hari bagi menyerahkan memorandum menuntut pelanjutan tempoh moratorium perlombongan bauksit sehingga wujudnya tatacara pengendalian piawan bagi menjamin pencemaran sifar.

Kira-kira 30 orang yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk melalui program ini datang ke Parlimen dalam misi membawa memorandum rayuan menentang pencemaran itu. Mereka berkumpul di luar parlimen 10 pagi hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ketika ditemui bersama peserta berkata kerajaan seharusnya melihat kesungguhan rakyat dalam memperjuangkan hak mereka dalam menuntut alam sekitar yang bersih.

Perkarangan pagar utama bangunan Parlimen dikawal rapi oleh kira-kira 15 anggota polis yang menghalang peserta himpunan daripada memasuki bangunan itu.

Memorandum kemudiannya diserahkan oleh Fuziah kepada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Mohd Nazif Jamaludin pada jam 10.45 pagi.

[Berita penuh menyusul]