Jabatan Peguam Negara mendapati tiada bukti bahawa pemimpin Wanita Umno yang menuduh masyarakat Cina yang membakar Al-Quran pada tahun November, 2014 telah melakukan suatu kesalahan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

"Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan dalam kes Mashitah Ibrahim dan mendapati tiada keterangan yang membuktikan suatu kesalahan telah dilakukan oleh beliau," kata Nancy.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di parlimen bagi menjawap soalan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) yang ingin tahu mengapa masih tiada tindakan diambil terhadap Mashitah.

Mashitah yang merupakan seorang senator dan bekas timbalan menteri, mendakwa pada Perhimpunan Agung Umno 2014 bahawa terdapat masyarakat Cina di Kedah membakar naskhah al-Quran, sehelai demi sehelai.

Beliau berkata ini adalah antara contoh bagaimana orang Melayu dan Islam sedang dicabar di negara ini.

Dakwaanya itu kemudiannya dibuktikan adalah tidak benar.

Gooi dalam satu kenyataan akhbar kemudiannya, berkata beliau terkejut dengan jawapan Nancy.

Katanya, adalah mustahil bahawa Pejabat Peguam Negara mendapati tiada bukti walaupun ucapan Mashitah semasa perhimpunan agung Umno itu dilaporkan secara meluas, termasuk dirakamkan dalam bentuk video.

[Baca berita penuh]