‘Ku Li dan undi tak percaya hanya rekaan Mahathir’
Dakwaan bahawa Tengku Razaleigh Hamzah adalah individu yang mencadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen hanyalah rekaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata berita itu langsung tidak kedengaran di kalangan rakan-rakan ahli parlimen dari Umno dan BN.
“Saya tidak melihat apa-apa berita (dakwaan Tun Mahathir seperti apa) yang disebarkan. Tidak ada sama sekali.
“Rakan-rakan saya dan rakan sekerja dari ahli parlimen lain dari Umno dan BN tidak bercakap tentang perkara ini.
“Saya akan tahu kalau ia memang ada (tapi) tak ada langsung. Semua berita ini dicipta oleh Mahathir,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai dakwaan Mahathir bahawa Tengku Razaleigh membuat cadangan supaya Najib disingkirkan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Sabtu lalu Mahathir berkata, walaupun Tengku Razaleigh memberi cadangan sedemikian, namun beliau kini menukar pendiriannya untuk menyokong Najib.
Selain itu, Mahathir juga memberitahu Tengku Razaleigh sebelum ini memberitahunya bahawa undi tidak percaya dapat menjatuhkan Najib.
Tengku Razaleigh kemudian mengedarkan deklarasi undi tidak percaya di kalangan wakil rakyat namun tidak mendapat sokongan majoriti, kata Mahathir.

