Malaysia yang mengetuai 117 negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) yang turut dianggotai Korea Utara, menggesa Pyongyang supaya kembali menyertai semula rundingan enam pihak berhubung program nuklearnya.

"Kita, selaku pengerusi NAM, sentiasa meminta Korea Utara supaya kembali menyertai Perjanjian Kawalan Nuklear (NPT)," kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Kita mahu Korea utara menyertai rundingan enam pihak tersebut. Korea Utara mesti dipujuk (berbuat demikian) dan saya fikir China boleh memainkan peranan besar," katanya kepada pemberita.

Khamis lalu, Korea Utara berkata negara itu memiliki senjata nukleara dan menarik diri daripada menyertai rundingan enam negara yang berhubung program nuklearnya.

Krisis tersebut berlaku pada tahun 2002 selepas Amerika Syarikat menuduh Korea Utara menjalankan program sulit pengkayaan uranium dan seterus bertindak memotong bantuan minyak kepada negara itu.

Dasar bermusuhan

Pyongyang pula bertindak balas dengan mengusir pemeriksa Bangsa-bangsa Bersatu, menarik diri daripada menyertai rundingan NPT dan mengaktifkan semula loji yang berkemampuan menghasilkan senjata nuklear.

Amerika, Korea Utara, Korea Selatan, China, Russia dan Jepun bertemu dalam tiga pusingan rundingan mengenai isu tersebut sejak Jun tahun lalu.

Rundingan pusingan keempat gagal diadakan sepertimana yang dijadualkan September lalu, dengan Pyongyang antaranya, menuduh Washington mengamalkan "dasar bermusuhan".

NAM yang dianggotai sebahagian besarnya oleh negara sedang membangun, diwujudkan sebagai satu alternatif kepada blok Timur dan Barat sewaktu Perang Dingin.

- AFP