Peguam bantah afidavit majistret
Kes 'tangkapan haram' yang difailkan oleh peguam P Uthayakumar terhadap kerajaan dan pihak polis bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, dengan pihak plantif membantah afidavit oleh seorang majistret.
Kes 'tangkapan haram' yang difailkan oleh peguam P Uthayakumar terhadap kerajaan dan pihak polis bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, dengan pihak plantif membantah afidavit oleh seorang majistret.
Peguam M Manoharan (kanan) yang mewakili Uthayakumur berkata, Majistret Mohd Khairi Hamdan yang mengeluarkan waran tangkapan terhadap pelanggannya September lalu, tidak sepatutnya terbabit atau memperlihatkan sikap berat sebelah dalam kes tersebut.
Menurutnya, majistret tersebut tidak sepatutnya terbabit dalam kes yang sedang didengar itu kerana dia akan dilihat memihak kepada timbalan pendakwaraya.
"Beliau tidak sepatutnya terbabit dalam pertikaian antara dua pihak berkenaan, apatah lagi memandangkan beliau tidak mendengar kes ini.
"Tambahan pula, ini akan memberi duluan yang tidak baik dan oleh itu afidavitnya patut ditolak kes ini. Kami telah membuat bantahan (mengenainya), kepada Hakim Mahkamah Tinggi," katanya ketika dihubungi.
Kes ini - yang difailkan selepas Uthayakmur (kiri) ditahan selama empat jam kerana gagal bekerjasama dengan pihak polis - sedang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Kadir Musa.
Afidavit majistret tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohamad Hanafiah Zakaria, yang turut mengemukakan bantahan awal kedua terhadap kebenaran kes tersebut.
"Majistret tersebut bukan seorang responden dalam kes ini. Kami tidak menamakan beliau apabila menfailkan kes itu. Kami bagaimanapun telah menfailkan satu tindakan terhadap peguam negara, pihak polis dan kerajaan kerana melanggar undang-undang," kata Manoharan.
Dakwaan bercanggah
Afidavit tersebut yang mengandungi hujah majistret itu bahawa beliau telah membenarkan Uthayakumar memberi penjelasan ketika dia dibawa ke kamarnya selepas ditangkap pada 9 September lalu, bercanggah dengan dakwaan plantif.
Sebaliknya, Uthayakumar mendakwa beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan sebelum waran tangkap dikeluarkan walaupun banyak berkomunikasi dengan pihak polis supaya dia dibenarkan berbuat demikian.
Sebelum ini, Manoharan berkata Timbalan Pendakwaraya telah mengemukakan satu lagi bantahan yang mahukan kes ini didengar sebagai kes sivil dan bukannya satu kes jenayah.
Apabila kes tersebut mula didengar Oktober lalu, timbalan pendakwaraya gagal dalam percubaannya supaya kes tersebut ditolak daripada didengar di mahkamah jenayah.
Bagaimanapun, Manoharan tetap mahu kes ini didengar sebagai kes jenayah. Beliau juga mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa waran tangkap itu tidak sah.
Waran tersebut dikeluarkan apabila Uthayakumar gagal memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung laporan yang dia diserang Mei lalu.
Peguam tersebut yang banyak mengendalikan kes berhubung kekerasan polis, mendakwa penyerangnya adalah anggota polis, tetapi tuduhan tersebut dinafikan oleh pihak polis.
Uthayakumar, yang mencari suaka sementara di United Kingdom selepas kejadian tersebut, berkata beliau enggan memberi kenyataan kerana tidak mempunyai keyakinan terhadap polis.
Kes tersebut ditangguhkan pagi ini selepas berjalan selama 30 minit dan akan disambung semula pada 28 Mac depan.

