Kurang 24 jam selepas mengakui dirinya adalah seorang diktator, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba membersihkan namanya dengan melakarkan perbezaan antaranya dengan beberapa diktator terkenal dunia.

Mahathir berkata dirinya sedia berundur manakala diktator lain kekal berkuasa sehingga mereka nafas terakhir - sama ada dibunuh atau membunuh diri.

“Saya amat kecewa apabila dengar suara halus bisik pada saya kata awak sudah tua bagi peluang kepada orang muda, dah 22 tahun jadi perdana menterti nak jadi sampai bila.

“Saya pun menhayut desakan itu dan saya letak jawatan,” kata Mahathir kepada kira-kira 500 penyokong pembangkang di Padang Pandan Indah, malam semalam.

Mahathir kemudiannya secara berseloroh menyoal hadirinnya sama ada mereka mengetahui mana-mana diktator yang melepaskan jawatan mereka tanpa sebarang desakan atau paksaan.

“Kononya saya diktator, diktator mana letak jawatan?

“(Pemimpin politik Jerman, Aldof) Hitler ada letak jawatan? Dia bunuh diri.

“ (Pemimpin Itali, Benito) Mussolini digantung,, (pemimpin Soviet Union, Joseph) Stalin matilah.

“Tapi saya letak jawatan untuk memberi peluang kepada pemimpin lain dengan harapan mereka akan cekap membangunkan negara. Malangnya ini tidak berlaku, terutamanya di waktu ini,” katanya.

Mahathir pada Ahad lalu mengakui bahawa beliau menjadi "diktator" semasa pemerintahan 22 tahun.

Bekas Perdana Menteri itu dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali muncul sebagai tetamu di perhimpunan ‘Selamakan Malaysia’ anjuran Pakatan Harapan.

Ia adalah siri jelajah pertama yang dianjurkan dengan bertujuan untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan memberi tekanan untuk membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dan mengadakan pembaharuan sistem institusi negara.

Mahathir menerima sambutan hangat oleh orang ramai semasa ceramah 40 minitnya itu.

“Kenapa kita ada di sini begitu ramai, sebab kita menhadapi masalah, kerana negara kita tidak lagi ditadbir dengan baik.

“Peminpin lebih suka hidup mewah dan membelanjakan wang bukan sendiri, kononya Pak Arab bagi. Mereka (Arab) begitu sayang bagi dia (Najib) RM2.6 bilion,” kata Mahathir dan disambut gelak ketawa daripada orang ramai.

“Saya dulu dapat duit juga tak banyaklah, tapi saya masuk dalam akaun pemegang amanah Umno sebab itu selepas saya berhenti saya serah kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) wang tunai RM230 juta,” katanya.

“Jika nak biayai PRU-13 apa pasal masuk akaun sendiri , bagitau kita, kita seronok dapat duit banyak minta sikit-sikitlah. Tapi dia tak beritahu, kononnya untuk Umno tapi saya tak nampak.

“Ini bukan Pak Arab bagi, ada org lain bagi. Sebab itu kita sangka, mungkin duit itu datang dari 1MDB. Dulu tidak ada 1MDB, rupa-rupanya dia (Najib) tubuh 1MDB supaya dia boleh pinjam duit sebanyak RM42 bilion nak beli itu (dan) ini , tapi sekarang nak cari duit tak ada,” katanya.

Mahathir kemudian mencabar ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk membuktikan bagaimana wang yang dipinjam itu digunakan.

[Baca berita penuh]