Malaysia akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pendatang tanpa izin mulai 1 Mac ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mengadakan rundingan dengan Presiden Indonesia hari ini.

Pada masa ini, katanya, operasi nasihat yang sedang dijalankan akan dipertingkatkan sehingga hujung bulan ini dan beliau berharap pendatang tanpa izin akan mengambil peluang itu untuk pulang ke negara masing-masing.

"Kita harap operasi yang lebih keras tidak akan dilakukan kerana operasi peringkat nasihat ini diterima baik oleh pendatang yang masih ada," katanya.

Sebelum ini, Malaysia telah menangguhkan sebanyak dua kali selepas berakhirnya tempoh pengampunan gerakan memberkas pendatang tanpa izin yang sebahagian besarnya adalah rakyat Indonesia.

Di bawah operasi nasihat, pendatang tanpa izin yang ditahan, diberi tempoh seminggu untuk meninggalkan negara dan jika mereka engkar dan ditahan sekali lagi, mereka tidak akan dibenarkan datang bekerja di Malaysia buat selama-lamanya.

Menurut Bernama , Abdullah membuat pengumuman itu di sidang akhbar bersama dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.

Kerjasama ekonomi

Ini merupakan lawatan negara pertama Presiden Republik Indonesia itu ke Malaysia sejak mengambil alih pucuk pimpinan negara itu pada Oktober lalu.

Masalah pendatang tanpa izin itu merupakan antara perkara yang diberi tumpuan dalam perbincangan mereka selain soal pembangunan semula Aceh setelah dilanda gempa bumi dan ombak besar tsunami pada 26 Disember lalu serta meningkatkan kerjama dalam bidang ekonomi.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia juga akan memperkenalkan sistem pengenalan diri biometrik dalam pengambilan pekerja dari Indonesia dalam usaha mengatasi masalah pendatang tanpa izin.

Melalui sistem itu, katanya, nama dan cap jari setiap pekerja Indonesia yang datang ke Malaysia akan direkodkan bagi menentukan sama ada kedatangan mereka sah atau tidak.

Langkah itu, tegas beliau lagi, bertujuan mengurangkan masalah pendatang tanpa izin dari negara jiran itu dan "seboleh-bolehnya mentiadakan lagi" golongan itu di negara ini.

Mengenai isu majikan di negara ini yang tidak membayar gaji kepada pekerja tanpa izin dari Indonesia, Abdullah berkata walaupun soal itu tidak membabitkan kerajaan namun kerajaan bersedia membantu dalam soal itu.

Eratkan lagi persahabatan

Kerajaan akan menasihati dan menggesa majikan berkenaan agar menjelaskan bayaran gaji kepada para pekerja terbabit, katanya.

"Ini adalah satu tanggungjawab yang mereka mesti laksanakan," kata Abdullah, yang turut memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus mengambil pekerja dari Indonesia.

Dalam soal itu, Susilo berkata Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia untuk menangani isu itu.

Susilo berkata lawatannya itu bertujuan meningkatkan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara di samping menyelesaikan masalah terutama yang berkaitan dengan tenaga kerja tanpa izin dari Indonesia.

"Masalah yang ada sekarang ialah bagaimana kita mengatasi kehadiran golongan yang dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin," katanya.

Susilo akan diraikan dalam jamuan negara di Istana Negara malam ini. Beliau dijangka berlepas ke Singapura esok untuk lawatan dua hari ke republik itu.