Bekas Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu, Amran Ahmad mempersoalkan liputan berlebihan oleh media arus perdana terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Katanya, serangan berterusan media seperti TV3 dan Utusan Malaysia berhubung pembelian banglo oleh Lim adalah tidak wajar memandangkan siasatan baru bermula.

Beliau juga mempersoalkan mengapa media arus perdana tidak memberikan layanan serupa ketika kes melibatkan pembelian banglo oleh Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo tidak lama dahulu.

"Media arus perdana diketahui tidak bebas dan dikuasai pemerintah terus mengambil peluang menghentam Guan Eng selaku pembangkang dan hanya beri layanan yang lebih baik kepada pemimpin Umno seperti Khir," katanya dalam kenyataan.

Amran berkata, selaku pendukung isu kesatuan sekerja dan kebebasan media, pihaknya melihat serangan ke atas Guan Eng bertujuan untuk mencipta sentimen negatif meskipun Setiausaha Agung DAP itu masih belum dibuktikan bersalah.

"Perbicaraan menerusi media dengan hukuman telah dijatuhkan menerusi penciptaan persepsi negatif di kalangan pembaca walaupun belum ada keputusan secara adil adalah sesuatu yang tidak sihat," ujar beliau lagi.

Isu pembelian banglo oleh Lim mula dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor).

Shabudin mendakwa banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang itu dibeli dengan harga RM2.8 juta dan lebih rendah dari nilai pasaran.

Beliau juga mendakwa pembelian rumah pada 2015 itu mempunyai hubungan dengan jualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis pada 2012.