Serbuan: Jabatan agama diminta tumpu kepada kesalahan syarie
Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam yang terlibat dalam sebarang serbuan maksiat selepas ini, dinasihatkan supaya menumpukan kepada perkara yang dilakukan oleh suspek yang jelas salah disisi hukum syarie.
Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam yang terlibat dalam sebarang serbuan maksiat selepas ini, dinasihatkan supaya menumpukan kepada perkara yang dilakukan oleh suspek yang jelas salah disisi hukum syarie.
"Sebagai contoh, apabila membuat serbuan, pegawai-pegawai penguatkuasa perlu fokus kepada minum arak, jangan benda-benda lain," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zain hari ini.
Selain cadangan menambah anggota penguatkuasa agama wanita bagi melicinkan lagi prosedur serbuan dan penahanan suspek, katanya, prosedur penguatkuasaan syarie juga akan diperbaiki selepas berbincang dan mendapat maklumatbalas daripada pihak berkuasa yang lain termasuklah Jabatan Peguam Negara.
Menurut Bernama , Dr Abdullah mempertahankan langkah serbuan anti maksiat oleh anggota Jawi pada 20 Januari lalu kerana menurutnya, ia mengikut akta serta enakmen undang-undang Syarie sedia ada, tetapi mengakui mungkin prosedur serbuan dan penahanan suspek perlu diperbaiki.
Sambil mengakui terdapat sedikit kelemahan dalam prosedur penguatkuasaan syariah di negara ini, beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mengambil langkah drastik untuk mengatasinya.
Kontroversi
"Kita perakui tiada prosedur standard dan sekarang ini kita masih lagi usahakan. Jadi sudah tentulah ada kelemahan di sana-sini," katanya sebagai mengulas aduan mengenai operasi Jawi itu yang didakwa keterlaluan.
Insiden yang menimbulkan kontroversi itu berlaku apabila 50 anggota serta dua pegawai wanita Jawi menyerbu dan menahan 100 pengunjung beragama Islam di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Tindakan Jawi itu dipersoalkan apabila ada antara mereka yang ditahan, mendakwa anggota Jawi bersikap keterlaluan seperti tidak membenarkan wanita membuang air kecil semasa ditahan anggota Jawi selama enam hingga lapan jam.

