Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerana 'puteri' Sulu, puteri reformasi mengadap JK khas

Anggota parlimen PKR Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Tian Chua (Batu) hari ini memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung pertemuan mereka bersama Jacel H Kiram pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, dalam mesyuarat hari ini, masih tiada keputusan dibuat berkaitan pertemuan kedua-dua mereka dengan 'puteri' Sulu itu.

Malah, mesyuarat jawatankuasa itu juga akan disambung pada Rabu depan.

"Kita tangguh mesyuarat pada Rabu akan datang. Saya tak boleh jelaskan lagi keputusan.

"Benda-benda yang dibincangkan di sini (mesyuarat) tak boleh diumum hingga penyata lengkap dan dibentang di mesyuarat (jawatankuasa)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen hari ini.

Pada Disember tahun lalu parlimen meluluskan usul merujuk Nurul Izzah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pertemuannya dengan Jacel, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Selain itu, ditanya sama ada berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dua wakil rakyat itu, Pandikar yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut hanya berkata:

"Puas hati atau tidak bukan itu soalnnya. Saya terpaksa dengar juga sama ada merah telinga atau apa. Pokoknya mereka sudah bagi penjelasan," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah, yang pernah digelar 'puteri reformasi' ketika era reformasi 1998, berkata, beliau bersama Tian Chua telah membangkitkan beberapa isu dan menyerahkan segala keputusan terhadap jawatankuasa tersebut.

"Mereka akan mempertimbangkan terhadap perkara yang kami bangkitkan dan kita patut tunggu.

"Mereka akan membuat pertimbangan dan membuat keputusan sewajarnya," katanya.

Lihat Komen
ADS