Debat: PAS Tganu berang dengan sikap sambil lewa Shabery Cheek
PAS Terengganu 'berang' dengan sikap sambil lewa Ketua Penerangan Umno negeri itu, Ahmad Shabery Cheek kerana menghantar wakil yang tidak layak untuk berbincang mengenai debat PAS-Umno berhubung isu cukai pintu.
PAS Terengganu 'berang' dengan sikap sambil lewa Ketua Penerangan Umno negeri itu, Ahmad Shabery Cheek kerana menghantar wakil yang tidak layak untuk berbincang mengenai debat PAS-Umno berhubung isu cukai pintu.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali berkata, Ahmad Shabery mesti bersikap bertanggungjawab jika benar-benar mahu debat tersebut menjadi kenyataan.
"Saya berang dengan sikap sambil lewa Ahmad Shabery dalam mengendalikan kes ini. Beliau menghantar wakil yang tidak layak untuk duduk berbincang dengan saya (Yahya) dan Setiausaha PAS negeri, Mohd Abdul Wahid Endut pada 6 Februari lalu.
"Wakil Umno - Zahari Said - tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang kita ajukan kepadanya. Beliau sekadar datang untuk mendengar cadangan PAS," katanya kepada malaysiakini .
Katanya, tindakan Ahmad Shabery seperti memandang rendah kepada PAS "seolah-olah parti tersebut parti `ikan bilis' yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati".
Menurutnya, wakil yang paling sesuai datang berbincang ialah Ahmad Shabery sendiri selaku Ketua Penerangan Umno negeri dan Setiausaha Umno Terengganu, Rosol Wahid
Yahya berkata, Ahmad Shabery ada menelefonnya untuk datang berbincang bersama Zahari pada 6 Februari lalu, tetapi tidak muncul.
"Sudah dua kali debat antara PAS dan Umno mengenai debat cukai pintu gagal...kedua-duanya Umno menghantar wakil yang tidak boleh berbincang. Mereka datang sekadar untuk melengkapkan jadual perbincangan," katanya lagi.
Datang sendiri
Menurut Yahya, sama ada debat tersebut menjadi kenyataaan atau tidak, bergantung sepenuhnya di tangan Ahmad Shabery kerana beliau yang mencetuskan idea berdebat itu.
"Jika Ahmad Shabery mahu debat ini berjaya, beliau perlu datang sendiri. Penggunaan wakil tidak membantu menjayakan debat ini, melainkan membuang masa sahaja," katanya.
Sebelum inipun, Yahya sudah berkali-kali mendakwa Ahmad Shabery melakukan pelbagai helah supaya debat di antara kedua-dua pihak mengenai cukai pintu di Terengganu gagal, antaranya sengaja melengah-lengahkan perbincangan dengan wakil PAS mengenai format dan tarikh debat tersebut.
Minggu lalu, Ahmad Shabery berkata, pihaknya telah menemui wakil PAS pada hari Ahad 6 Februari lalu bagi membincangkan lebih lanjut mengenai debat cukai pintu di Terengganu semasa pemerintahan PAS.
Katanya, Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Zahari Said telah menemui Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut untuk membincangkan perkara tersebut.
Hasil daripada perbincangan tersebut, mereka mencadangkan debat itu diadakan pada hari Ahad 13 Mac bertempat di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu jam 9 malam.
Beliau berkata, format debat itu sama seperti debat calon Presiden Amerika Syarikat, dengan masing-masing dua wakil dari PAS dan Umno, duduk di atas pentas dan dua penyoal yang mewakili kedua-dua parti itu, bebas bertanya kepada para pendebat.
Difahamkan, wakil Umno pada debat tersebut ialah Ahmad Shabery dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Ahmad Said. PAS pula akan diwakili oleh Yahya dan Abdul Wahid meskipun Ahmad Shabery mencadangkan bekas Exco. Datuk Wan Abdul Mutalib Embong.

