Haron Din masih di IJN, makin stabil
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semakin stabil tetapi masih menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung negara (IJN).
Menurut Facebooknya, berita itu dikhabarkan oleh keluarga Haron yang berharap agar semua pihak mendoakan kesejahteraannya.
“Alhamdulillah. Berdasarkan maklumat sahih daripada keluarga, Datuk Dr Haron Din dilaporkan semakin stabil di CCU.
“Terima kasih atas titipan doa, solat hajat dan ingatan semua. Semoga Allah mengganjari sebesar-besar kebaikan dan balasan. Mohon teruskan ikhtiar doa,” tulis pentadbir Facebook milik Haron.
Minggu lalu Haron dimasukkan ke IJN selepas mengadu mengalami sakit dada.
Beliau sebelum ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford, San Francisco Amerika Syarikat pada 2 April 2012.

