Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyamakan majlis Deklarasi Kelantan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti menandatangani buku kedatangan.

"Saya bergurau apabila buku itu dihantar kepada saya. Ia seperti buku kedatangan. Jadi saya tandatanganinya, walaupun ia sebahagian daripada majlis deklarasi itu," kata Tengku Razaleigh.

Ditanya mengapa beliau menandatangani deklarasi berkenaan, beliau berkata dirinya menandatangani sebagai ahli Umno dan ketua bahagian parti.

Diasak sama ada beliau memilih untuk berbuat demikian, Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai hak untuk menandatangani apa-apa dokumen yang beliau mahu.

"Ini demokrasi, bukan? Saya boleh tandatangani apa-apa dokumen. (Dan) saya tidak fikir ia mempunyai sebarang implikasi undang-undang," kata Ahli Parlimen Gua Musang yang juga dikenali sebagai Ku Li.

Khamis lalu, Razaleigh bersama dengan wakil rakyat BN Kelantan yang lain, menandatangani deklarasi itu bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib yang sedang diasak supaya berundur.

Berhubung tindakan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya sebagai "pengkhianat", Razaleigh berkata beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana pergerakan.

"Ia (deklarasi) adalah dokumen biasa yang disediakan oleh mana-mana parti politik.

"Saya tandatanganinya sebagai ahli Umno. Saya tidak berada dalam mana-mana kumpulan, selain daripada Umno. (Jadi) bagaimana boleh tuduh saya sebagi pengkhianat? "

[Baca berita penuh]