Kementerian Pengangkutan akan memastikan perkhidmatan teksi alternatif seperti Uber dan Grabcar didaftarkan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) secepat mungkin.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata SPAD telah diminta untuk mempercepatkan proses pendaftaran pemandu yang terlibat dengan perkhidmatan itu bagi mengelak berlaku syak wasangka dalam kalangan pemandu teksi.

"SPAD dan kementerian memang bersetuju kita perlu daftarkan pemandu Uber dan Grabcar serta lesenkan mereka untuk pastikan pemandu teksi tak rasa diabaikan," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Karnival Teguh Bersama MCA di Wisma MCA hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan lebih 300 pemandu teksi awam yang membuat protes membantah perkhidmatan Uber dan Grabcar di Bukit Bintang, di Kuala Lumpur pagi tadi.

Liow berkata perkhidmatan Uber dan Grabcar perlu dilesenkan supaya ia mengikut peraturan di bawah undang-undang SPAD dengan mewajibkan mereka yang menawarkan perkhidmatan itu memiliki lesen kenderaan awam dan membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Sementara itu, SPAD sedang mengambil langkah bagi memastikan Uber dan Grabcar dikawal selia serta tidak menggugat industri teksi sedia ada.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu bagaimanapun memerlukan masa untuk pelaksanaannya.

"Suruhanjaya prihatin terhadap isu-isu di dalam industri teksi dan sedang berusaha bagi mendapatkan penyelesaian sesuai bagi meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi," katanya lapor Bernama .

Dalam kejadian itu, kira-kira 300 pemandu teksi berkumpul di kawasan berkenaan bermula 10 pagi dengan meletakkan teksi-teksi mereka di bahu-bahu jalan.

Tindakan ini menghalang laluan utama dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan terbabit.