Setiausaha Badan Peguam Malaysia, Cheah Yee Lynn juga akan disoal-siasat polis berhubung usul menggesa peletakan jawatan Peguam Negara Tan sri Mohd Apandi Ali, selain tiga peguam yang mengemukakannya.

Presidennya, Steven Thiru ketika membuat pendedahan itu berkata siasatan polis itu adalah campur tangan yang tidak boleh diterima dalam hal ehwal Badan Peguam.

"Tindakan (polis) ini tidak boleh diterima.

"Ini adalah gangguan kepada kewajipan berkanun Majlis Peguam untuk mengadakan dan menjalankan mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia dan hak berkanun ahlinya untuk mengemukakan usul untuk pertimbangan Badan Peguam Malaysia selaras dengan matlamatnya dan kuasa di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.

"Majlis Peguam menggesa (polis) supaya menghormati kewajipan berkanun Majlis Peguam dan hak berkanun ahli Badan Peguam Malaysia," kata Steven dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini melaporkan awal hari ini bahawa peguam Francis Pereira, R Shanmugam dan Charles Hector yang mengemukakan usul itu telah diarahkan untuk menghadiri siasatan polis.

Ketiga-tiga mereka telah diarahkan untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada petang Khamis, di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

[Baca berita penuh]