Perundangan capai mata tertinggi indeks syariah
Bidang perundangan Islam mencapai mata tertinggi dengan 87.19 peratus dalam Indeks Syariah Malaysia 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin.
Mata itu dicapai setelah Malaysia dikatakan telah melaksanakan pelbagai usaha memartabatkan perundangan Islam dipandu oleh maqasid (objektif) syariah.
Bidang kedua mencatat mata tertinggi pula dalam bidang pendidikan (82.5 peratus), diikuti politik (79.19 peratus), kesihatan (73.92 peratus), sosial (68.52 peratus), ekonomi (65.25 peratus), budaya (66.47 peratus) dan prasarana persekitaran (62.31 peratus).
Mata-mata ini dikongsi di Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.
Bagaimana mata itu diperoleh tidak dinyatakan.
Bagaimanapun kerajaan pusat sebelum ini pernah membentuk jawatankuasa bersama kerajaan Kelantan bagi mengkaji kehendak negeri itu untuk melaksanakan hudud.
PAS kini sedang cuba meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di parlimen bagi menambah bidang kuasa mahkamah itu.
Dalam indeks itu juga, Malaysia mencatat mata keseluruhan sebanyak 75.42 peratus.
Indeks itu bertujuan menilai keseriusan kerajaan menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program serta mengenal pasti ruang pembaikan untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.
Parti Amanah Negara (AMANAH) bagaimanapun mempertikaikan kayu ukur digunakan dalam aspek maqasid memelihara harta ketika negara berdepan kontroversi 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion.

