Tohmahan k’jaan rahsiakan tarikh PRU tak benar - Azalina
Tohmahan yang mendakwa kerajaan merahsiakan tarikh pilihan raya umum daripada pembangkang adalah tidak benar sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk seri Azalina Othman Said.
Beliau juga menafikan bahawa proses membubarkan parlimen dan dewan undangan negeri melanggar demokrasi berparlimen.
"Perlembagaan Persekutuan dan semua Undang-undang Tubuh Negeri telah memperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat atau DUN dibubarkan atau sesuatu kekosongan luar jangka untuk menjalankan pilihan raya.
"Selepas kekosongan itu dimaklumkan kepada SPR oleh speaker Dewan Rakyat atau DUN, pihak SPR seterusnya akan mengadakan satu mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting pilihan raya dan pemakluman tarikh tersebut dibuat melalui media.
"Sehubungan dengan itu, tohmahan yang mengatakan tarikh pilihan raya dirahsiakan adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.
Azalina mengulas soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang ingin tahu alasan pihak kerajaan merahsiakan tarikh pilihan raya umum daripada dimaklumkan lebih awal.
Malah, kata Hadi, tindakan berkenaan adalah tidak adil kepada blok pembangkang dan menyifatkannya sebagai melanggar hak demokrasi berparlimen.

