Pemimpin DAP lega Ku Li tak tandatangani Deklarasi Rakyat
Ahli parlimen DAP Lim Lip Eng melahirkan rasa lega dan berterima kasihnya dengan keputusan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat bagi Selamatkan Malaysia pada awal bulan ini.
"Adalah susah selepas menandatanganinya, beliau mendakwa ia sama seperti menandatangani buku kedatangan dan hanya gimik politik.
"Media milik Umno seperti TV3, Utusan Malaysia dan RTM akan mempunyai ‘peluru’ untuk menyerang Deklarasi Rakyat setiap hari sehingga pilihan raya umum akan datang," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Lim seterus mempersoalkan kewibawaan pemimpin veteran Umno yang bercita-cita menjadi perdana menteri itu tetapi gagal mengambil kira tanggungjawab politik kerana menganggap apa yang ditandatangani sebagai semata-mata gimik.
Pada sidang akhbar semalam, Razaleigh menyamakan majlis Deklarasi Kelantan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti menandatangani buku kedatangan.
"Saya bergurau apabila buku itu dihantar kepada saya. Ia seperti buku kedatangan. Jadi saya tandatanganinya, walaupun ia sebahagian daripada majlis deklarasi itu," kata Tengku Razaleigh.
Malah katanya, deklarasi itu hanyalah dokumen biasa yang tidak mempunyai kesan atau implikasi undang-undang.
Sementara itu, mengenai penafian Razaleigh beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai akuan bersumpah (SD) yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri,
Lim tertanya-tanya sama ada beliau juga akan mendakwa bahawa SD itu juga gimik politik.
"Saya tidak pasti sama ada kepimpinan PAS masih mahu Ku Li untuk menjadi calon Perdana Menteri selepas persembahan ini," katanya.
Razleigh, bidas Lim, masih 'bermain-main' dengan gimik dan deklarasi ketika negara sedang menghadapi pelbagai krisis kepimpinan dan ekonomi.
"Rakyat perlu memekakan telinga dan mengabaikan kenyataan masa depannya. Ku Li memang patut dibiarkan terus menunggu untuk menjadi perdana menteri dan dan terus berharap buat selama-lamanya," kata Lim.

