Mahkamah benar Bekir tangguh bayaran mutaah RM30j
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan penangguhan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib yang diarahkan untuk membayar bekas isterinya Shahnaz A Majid sebanyak RM30 juta sebagai bayaran mutaah sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Syariah.
Hakim Muhamad Abdul Karim Wahab berkata mahkamah mendapati permohonan penangguhan itu adalah munasabah berdasarkan kebimbangan anak bekas Ketua Menteri Sarawak itu bahawa beliau perlu memohon pinjaman untuk membayar jumlah berkenaan.
"Pemohon bimbang bahawa defendan akan membelanjakan jumlah itu sebelum keputusan rayuan yang mungkin meletakkan beliau dalam kerugian.
"Sebab itu adalah munasabah dan perlu dipertimbangkan kerana adalah sukar untuk mendapatkan wang kembali jika ia sudah dibelanjakan," kata Hakim Muhamad.
Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan penggantungan sementara pembayaran mutaah RM30 juta itu.
Pada 10 Mac lalu, hakim yang sama memerintahkan Bekir membuat pembayaran mutaah kepada Shahnaz.
Beliau mengarahkan bayaran - melalui tiga peringkat dengan RM10 juta setiap satu - mesti diselesaikan sebelum 31 Mac.

