Penentang lebuh raya mahu polis siasat MB, exco
Dua laporan polis dibuat terhadap kerajaan negeri Selangor dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali berhubung pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Tak Nak SUKE, Muhammad Agos Abul Hasan Ashar berkata laporan itu dibuat oleh penduduk semalam dan 27 Mac lalu selepas usaha untuk berbincang dengan kerajaan negeri menemui jalan buntu.
“Laporan polis dibuat selepas usaha untuk berbincang dengan kerajaan negeri Selangor tidak berhasil dan tidak ada sebarang respon.
"Kalau mereka tidak mahu berbincang dengan kami mereka boleh berbincang dengan pihak polis,” kata Agos kepada pemberita di lobi bangunan SUK Selangor, hari ini.
Laporan itu antara lain mendakwa berlaku pelanggaran di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa bagi kedua-dua projek berkenaan
Bagi projek SUKE pula, kelulusan untuk warta pengambilan tanah diberi tiga bulan selepas notis pengambilan tanah dikeluarkan, sekaligus didakwa melanggar proses undang-undang.
Agos juga menyatakan tindakan itu dibuat selepas penduduk semakin putus asa dengan langkah kerajaan Selangor dalam menyelesaikan isu terbabit.
"Kami sebagai penduduk yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya ini sudah putus asa dengan alasan berterusan yang diberi oleh pemimpin PKR, DAP dan PAS.
"Kami berharap polis boleh memberi perhatian kepada laporan kami dan menyiasat semua pihak yang berkenaan terutamanya seluruh exco kerajaan negeri Selangor bermula dengan MB,” kata Agos.

