Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang menyatakan program dwibahasa (DLP) adalah program pilihan, justeru ia dikatakan baik diteruskan.

ABIM berpandangan tindakan kerajaan membuka pilihan untuk diajar subjek seperti STEM (sains teknologi dan matematik) di sekolah kebangsaan dalam Bahasa Inggeris menerusi DLP adalah satu kesilapan besar.

Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja mengada-adakan perlumbaan antara bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris.

Sedangkan tanggungjawab kerajaan adalah memelihara, memartabat dan memperkasa bahasa kebangsaan serta mencorak identiti pelajar sekolah kebangsaan berdasarkan asas pendidikan kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan.

ABIM juga ingin melahirkan kehairanan mengapa kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih sesuatu dasar yang sudah terbukti gagal?

Rujukan kami adalah kajian dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dibuat jemaah nazir persekutuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri menerusi sampel ke atas 1942 murid tahun 5 kohort 2 (2004) dari 56 sekolah yang menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot. malah ada yang dengan drastik merudum apabila naik ke tahun lebih tinggi.

Selain itu, kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA), menerusi 90 sekolah rendah, 70 sekolah menengah yang meliputi 15,089 pelajar di bandar, luar bandar, sekolah pedalaman, dan Sekolah Kebangsaan Pulau menunjukkan:

(1) Untuk sekolah rendah mata pelajaran sains hanya menyumbang peningkatan BI sebanyak 0.7% dan matematik tiada sumbangan.

(2) Sekolah menengah (aliran sastera) bagi subjek matematik hanya 1.0 peratus dan subjek sains hanya 0.6 peratus.

(3) Sekolah menengah (sains) kimia 2 hingga 0.6 peratus, matematik tambahan 0.3 peratus.

Justeru, tindakan kerajaan untuk melaksanakan DLP dengan tujuan untuk memperkasa BI adalah tindakan yang membingungkan, mengelirukan serta tidak bertitik tolak berasaskan fakta dan kajian.

Ujian antarabangsa

Selain itu, hasil ujian antarabangsa - Trend Dalam Pengajian Sains dan Satematik (Timms) 2007 dan Program Penilaian untuk Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 – sewaktu era PPSMI, menunjukkan kedudukan Malaysia menjunam.

Malaysia berada di kumpulan satu pertiga terbawah bebanding TIMMS 1999 dan 2003 (sebelum PPSMI) dalam kelompok 10 terbaik dari 58 negara.

Lantaran, ABIM mengulangi tuntutan untuk kerajaan fokus kepada agenda memperkasa subjek BI di sekolah bukan dengan menjadikan BI sebagai bahasa penghantar di sekolah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terdiri dari ahli akademik, NGO, parti politik, aktivis masyarakat, sasterawan, golongan pelajar, seniman dan budayawan yang turut sama dalam perarakan mengusung Keranda 152 ketiga dalam sejarah negara pada 26 Mac 2016.

Ia menjadi manifestasi kepada kekecewaan terhadap tindakan kerajaan yang memungkiri janji untuk memartabat bahasa kebangsaan dan memansuhkan dasar atau program mirip PPSMI.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung ABIM.

Lihat Komen
ADS