'Najib tak bunuh, Dr M masih hidup'
Pengkritik Datuk Seri Najib Razak bebas bergerak ke mana sahaja dan ia membuktikan perdana menteri itu tidak akan membunuh penentangnya seperti disiarkan dokumentari di sebuah stesen televisyen Australia baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata beliau terkejut dengan dakwaan agensi media itu yang mengaitkan Najib dengan beberapa kes pembunuhan.
Padahal, Ramesh berkata semua suspek dalam pembunuhan itu sudah ditahan, dibicarakan di mahkamah secara adil dan menerima hukuman mereka.
"Kehadiran ABC Australia ke Malaysia dan bertemu individu tertentu dilihat seperti satu cubaan yang didalangi pihak tertentu untuk terus menuduh Najib dan pada masa sama menjadikan keadaan di dalam negara tidak menentu khususnya ekonomi.
"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, veteran DAP Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, Ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semua masih hidup dan ramai lagi," katanya.
Ramesh berkata nilai mata wang negara yang kembali naik selepas Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno pada 29 Februari lalu membuktikan kebijaksanaan pasukan pentadbiran Najib dalam memastikan ekonomi terus mampan dan stabil.
Bagaimanapun katanya kumpulan tertentu dari pembangkang iri hati melihat pemulihan ekonomi dan cuba melakukan perkara terdesak untuk menjatuhkan kembali nilai mata wang dan ekonomi negara.
"Selain itu, mereka kini memperalatkan Dr Mahahir hanya kerana reputasinya sebagai Perdana Menteri yang kononnya banyak berjasa selama 22 tahun untuk mencapai hasrat jahat mereka menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat.
"Saya yakin strategi mereka kali ini tidak berjaya," katanya
Sebuah portal Umno yang juga penyokong tegar Najib baru-baru ini menafikan dokumentari Australia Four Corners bertajuk State of Fear: Pembunuhan dan Wang di Malaysia.
Mykmu.net mendakwa program 44 minit itu memaparkan watak-watak 'mental' yang 'tidak stabil, penipu, pemabuk dan orang nyanyuk'.

