Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuaca panas: Sekolah di Perlis, Kedah tutup lagi esok
Diterbitkan:  Mar 30, 2016 6:37 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Kementerian Pendidikan memutuskan sekolah-sekolah di Kedah dan Perlis akan ditutup lagi esok susulan fenomena gelombang haba melebihi 37 darjah celcius yang berterusan lebih 72 jam.

Sekolah-sekolah di Kedah diberikan cuti sehari manakala Perlis pula dua hari sehingga Jumaat, menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

“Penutupan hanya melibatkan ketidakhadiran pelajar-pelajar ke sekolah manakala guru-guru dan pentadbir sekolah dikehendaki datang ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Menulis di Facebook, Mahadzir berkata penutupan sekolah-sekolah itu tidak perlu diganti.

Awal minggu lepas arahan sama telah dikeluarkan berikutan cuaca panas melampau fenomena El Nino.

Berikutan fenomena itu, Malaysia, khususnya di Kedah dan Perlis mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah taburan hujan yang berkurangan.

Jabatan Meteorologi meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.

Penutupan sebelum ini melibatkan 853 sekolah termasuk 621 sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah serta 413,786 pelajar di Kedah dan Perlis terlibat dalam penutupan sekolah itu.

Mereka terdiri daripada 397,832 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah serta 15,954 murid prasekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS