'Saya murah hati, letak RM19 juta bawah kementerian belia'
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan berkata beliau meletakkan peruntukan sebanyak RM19 juta di Kementerian Belia dan Sukan untuk mengelakkan sebarang dakwaan salah guna dana.
Wang itu, sebelum ini, katanya, adalah daripada Jabatan Perdana Menteri untuk disalurkan kepada Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (Naam) sebuah syarikat berdaftar yang dipengerusikan oleh Saravanan dengan pemimpin MIC lain sebagai sebahagian daripada lembaga pengarahnya.
"Saya murah hati, saya tidak ambil wang itu, saya letakkannya di bawah Kementerian Belia dan Sukan, sebaliknya.
"Saya minta wang itu dimasukkan di bawah kementerian supaya tiada siapa yang boleh mempersoalkan Yayasan Naam.
"Jika saya ambil wang itu secara langsung, maka orang boleh mempersoalkan Yayasan Naam," kata Saravanan kepada pemberita di tapak fertigasi cili di Taman Maluri, Cheras, hari ini.
Menjelaskan lanjut, katanya dana RM19 juta itu datang dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membantu belia India yang miskin.
Jumlah itu bukan sahaja digunakan untuk program fertigasi, tetapi untuk semua program latihan dan kemahiran di bawah Yayasan Naam yang merangkumi program kejuruteraan mekatronik, automotif, elektrik, pendawaian, kecantikan dan pertanian.

