1MDB tidak lewat bayar projek PUKL - Lodin
Tidak berlaku sebarang kelewatan bayaran daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) bagi projek penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), kata Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Lodin yang juga Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), syarikat induk PPHM, berkata pembayaran daripada 1MDB berjalan mengikut jadual kepada PPHM.
"PUKL adalah projek besar bagi PPHM. Pembayaran oleh 1MDB adalah mengikut jadual dan pembayaran kami kepada sub-kontraktor, yang kebanyakannya Bumiputera, juga adalah sehingga tarikh terkini," katanya di luar mesyuarat agung tahunan Boustead Heavy Industries Corp Bhd, di Kuala Lumpur, hari ini.
Lodin juga adalah pengerusi BHIC dan 1MDB.
Beliau menegaskan tidak timbul sebarang isu kelewatan bayaran kepada PPHM, kerana masalah seperti itu kadang-kadang berlaku dalam industri.
"Sebagai kontraktor, anda perlu berdepan situasi yang mana kadang-kadang anda dapat wang lebih awal, kadang-kadang anda dapat wang lambat sikit.
"Tetapi kontraktor tidak boleh bergantung kepada satu atau dua projek. Mereka perlu memastikan mereka mempunyai projek yang menguntungkan dan aliran tunai perlu kukuh untuk menyokong projek seumpama ini," katanya.
Projek PUKL juga tidak membawa sebarang kesan kepada semua paras kewangan LTAT, katanya.
"Kami kukuh, tabung (LTAT) selamat dan kami mempunyai petunjuk prestasi utama ini yang mana ahli-ahli akan diberikan wang mereka dalam tempoh 24 jam selepas mereka menerima kertas kelulusan daripada Menteri Pertahanan.
"Jadi, kami beri jaminan bahawa apabila anda membawa dokumen lengkap anda daripada Menteri Pertahanan, anda akan dapat wang anda dalam masa 24 jam. Saya sedih dengan segala tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak bahawa kami tidak membayar ahli-ahli kami untuk sekian lama," katanya.
Lodin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bahawa janji niaga PPHM dengan 1MDB dalam projek penempatan semula itu adalah alasan kelewatan pembayaran gratuiti kepada pesara angkatan tentera yang tidak layak menerima pencen.
Pada 2013, 1MDB menganugerahkan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada LTAT untuk membangunkan lapan tapak bagi projek penempatan semula PUKL daripada lapangan terbang lama Sungai Besi yang akan dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.
LTAT menjalankan pembangunan itu menerusi PPHM.
"Usaha pemindahan ke lokasi seperti Subang, Sendayan, Kuantan dan Kajang sedang dilaksanakan dan disasarkan siap tahun depan. Manakala, pembayaran berkaitan adalah mengikut jadual," katanya.
Sementara itu, Lodin berkata beliau bersetuju dengan kenyataan oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB baru-baru ini yang menyatakan terdapat iktibar yang perlu dipelajari daripada pengalaman 1MDB, yang mana ia sepatutnya mengurangkan hutang berlebihan serta risiko tinggi dalam pengurusan.
"Saya menyokong sepenuhnya pandangan beliau dan apa yang beliau lakukan. Apabila anda membangunkan projek mega seperti mana yang 1MDB terlibat, anda tidak boleh terlalu bergantung kepada dana pinjaman.
"Perlu ada gabungan modal oleh pemegang saham dan sedikit wang yang dipinjam. Anda tidak boleh bergantung penuh kepada pinjaman," katanya.
Beliau berkata, ketidakupayaan 1MDB menyenaraikan Edra Global Energy Bhd pada 2014 adalah satu daripada alasan utama mengapa syarikat milik kerajaan itu berada dalam situasi kewangan ini.
"Jika Edra disenaraikan pada akhir 2014, mereka akan mempunyai wang mencukupi untuk membayar balik kepada pemiutang dan bank-bank.
"Jadi semua isu-isu kegagalan pembayaran tidak akan berlaku," katanya.

