Pemandu demo anti-Uber dibebaskan
Lima pemandu teksi yang turut membantah kewujudan perkhidmatan pemandu teksi Uber dan Grabcar di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur semalam dibebaskan.
Mereka dibebaskan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi petang ini.
Semalam, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan protes susulan dakwaan tiada tindakan kerajaan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar di Kuala Lumpur.
Seramai 60 pemandu teksi bergerak dari KLCC ke Jalan Bukit Bintang sebelum bergabung dengan 40 lagi pemandu teksi untuk melakukan tunjuk perasaan.
Lima pemandu teksi yang ditahan reman semalam disambut oleh kira-kira 30 rakan mereka yang setia menunggu di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang tadi.
Mereka ditahan selepas menyertai sejumlah 100 pemandu teksi lain dalam perarakan membantah Uber dan Grabcar dari KLCC ke Jalan Bukit Bintang semalam.
Kelima-lima mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (TEKS1M) Kamarudin Mohd Hussain berkata, kejadian semalam berlaku berikutan pemandu teksi sudah tiada jalan lain lagi.
"Pemandu teksi bersedia menghadiri mana-mana perhimpunan (seperti semalam) kerana pendapatan telah terjejas teruk.
"Mereka dikekangi dengan pelbagai kos sedangkan Uber dan Grabcar tiada tekanan yang sama," katanya yang turut ditahan.
Bagaimana pun Kamarudin berkata, beliau tidak tahu siapa yang menganjurkan perhimpunan tersebut.
Justeru, beliau mengingatkan agar pemandu teksi lain agar tidak lagi menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak diketahui penganjurnya seperti semalam, bagi mengelakkan sebarang masalah.
Semalam, Jalan Bukit Bintang sesak kerana dihalang kira-kira 100 teksi yang meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan.
Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Mansor turut membidas himpunan tersebut dan menggesa pemandu teksi 'melihat kesilapan sendiri' berbanding menyalahkan Uber dan Grabcar.
Mengulas perkara itu, Kamarudin menggesa kerajaan mengubah dahulu keseluruhan sistem teksi yang didakwa menindas pemandu.
"Jika Ku Nan mahu teksi memberikan perkhidmatan seperti Uber, bebaskan dahulu kami dari 'penjajahan moden' ini.
"Bagi kami permit sendiri, hapuskan monopoli. Selesaikan masalah pokok kami dahulu iaitu dengan tukar sistem pengangkutan darat," katanya.
