2 loji air baru S'gor akan jadi projek gajah putih?
Rancangan pembinaan dua loji rawatan air oleh kerajaan negeri di Labohan Dagang dan Semenyih yang melibatkan kos RM800 juta akan menjadi projek gajah putih, kata wakil rakyat BN Selangor.
Anggota Dewan Undangan (ADUN) Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak ( gambar ) mempersoalkan keberkesanan projek itu dalam keadaan air yang akan disalurkan ke loji rawatan itu sendiri didakwa tidak cukup.
Katanya, dalam sebuah lagi projek, Langat 2, sendiri pun kerajaan negeri terpaksa mengambil air daripada Pahang.
"Air tak cukup macam mana nak buat loji rawatan air? Nanti akhirnya itu akan jadi projek gajah putih,” katanya.
Malah, beliau membangkitkan nasib dua loji itu apabila Langat 2 siap sepenuhnya dengan kemampuan memproses 1,320 juta liter sehari untuk fasa pertama dan 2640 juta untuk fasa kedua.
Bercakap dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, Sulaiman berkata menuntut penjelasan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bagaimana kerajaan negeri akan memperoleh sumber air bagi keperluan dua loji itu.
"Persoalan saya adalah dari segi sumber air mentah, sebab Langat 2 atau pun di kawasan di Labuhan Dagang dan Semenyih ini, di situ juga ada loji rawatan air yang sudah wujud iaitu Langat dan Cheras, Batu 11.
"Kedua-dua loji ini juga banyak hadapi masalah sehingga ditutup terutamanya disebabkan amonia. Kalau dua loji ini pun selalu ditutup disebabkan amnonia, dari mana loji Semenyih dan Labuhan Dagang nak dapat air?" soal Sulaiman.
Menurut Sulaiman, kajian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendapati sungai-sungai di Selangor hanya boleh menyalurkan sumber air kepada 34 loji sedia ada sahaja.
Azmin baru-baru ini berkata kerajaan negeri akan membina dua buah loji rawatan di Labohan Dagang dan Semenyih disebabkan kelewatan dalam pelaksanaan Projek Langat 2.

