Majlis Peguam telah mengedarkan pekeliling menggesa ahli Badan Peguam Malaysia untuk berhimpun sebagai bantahan terhadap apa yang didakwa mereka sebagai gangguan atau campur tangan polis dalam urusan mereka.

"Ahli-ahli Badan Peguam dijemput hadir di sekretariat Majlis Peguam dan di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, esok untuk menunjukkan sokongan mereka kepada empat ahli," petik pekeliling itu.

Empat ahli berkenaan adalah Setiausaha Badan Peguam, Karen Cheah Yee Lynn dan peguam Charles Hector Fernandez, Francis Pereira dan R Shanmugam.

Polis dijadual merakamkan kenyataan mereka petang esok bertempat di Bukit Aman.

Ini berkaitan usul yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan ke-70 Badan Peguam Malaysia pada 19 Mac lalu yang membincangkan kedudukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali kerana enggan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya.

Polis telah memaklumkan Badan Peguam bahawa mereka ingin merakamkan kenyataan daripada empat ahlinya itu mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, bagi maksud penyiasatan yang berbangkit daripada aduan berkenaan dengan Seksyen 4 (1) (a ) Akta Hasutan 1948.

[Baca berita penuh]