Jangan seperti budak-budak, kata IGP kepada Badan Peguam
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta Badan Peguam Malaysia supaya tidak berperangai kebudak-budakan dengan rancangan mereka untuk berhimpun di luar ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, esok.
"Hanya kerana polis mahu menyiasat mereka atas laporan yang dibuat, mereka bertindak seperti budak-budak dan mengancam untuk berhimpun di hadapan Bukit Aman. Jangan jadi budak-budak.
"Mereka sebaliknya perlu membantu kami dengan siasatan dan tunjukkan kepada rakyat bahawa apa yang mereka lakukan adalah sah seperti yang didakwa mereka," katanya kepada Malaysiakin i.
Khalid juga memberi amaran bahawa tindakan akan diambil jika perhimpunan peguam itu menyebabkan gangguan atau halangan kepada lalu lintas.
Tambahan pula, beliau berkata, sebagai peguam, mereka perlu tahu bahawa notis yang mencukupi perlu disediakan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Khalid mengulas desakan Badan Peguam Malaysia supaya ahlinya berkumpul di Bukit Aman, petang esok apabila empat anggota, termasuk setiausaha Majlis Peguam, Cheah Yee Lynn disoal-siasat di bawah Akta Hasutan.
Keempat-empat mereka diarahkan hadir kerana mengemukakan usul untuk membincangkan kedudukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang enggan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya

