Menteri gesa DAP tumpu isu rumah, bukan cili
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek 'menasihatkan' DAP menumpukan perhatian kepada projek perumahan mampu milik di negeri Pakatan Harapan sebelum menyentuh kontroversi dakwaan percanggahan kepentingan dalam program penanaman cili yayasan yang dikaitkan dengan MIC.
Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata projek Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (Naam) yang menerima dana kerajaan itu tidak harus dipolitikkan.
“Mereka tidak patut salahkan atau mengadu tentang Yayasan Naam.
“Sebaliknya mereka harus tanya, di Pulau Pinang dan Selangor, apa yang dilakukan DAP untuk masyarakat India miskin?” katanya.
Katanya, jika mereka tidak mahu menjalankan program pertanian, tumpuan harus diberikan terhadap projek rumah mampu milik untuk semua pihak, “bukan hanya kepada pemimpin”.
Beliau merujuk dakwaan pembelian banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bawah harga pasaran, yang dikaitkan dengan projek Taman Manggis di negeri itu.
Anggota parlimen DAP Ong Kian Ming membangkitkan dakwaan percanggahan kepentingan dalam projek penanaman cili yang menerima dana RM19 juta dariapda kerajaan.
Nama M Saravanan, timbalan menteri belia dan sukan, dibangkitkan selepas beliau juga mempengerusikan Yayasan Naam.

