Ketibaan pelancong ke Malaysia menurun sebanyak dua juta tahun lepas berbanding 2014, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Dalam jawapan bertulis di parlimen, Nazri berkata seramai 25.7 juta pelancong datang ke Malaysia pada 2015 berbanding 27.4 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kedatangan pelancong meningkat sejak 2011 sehingga 2014 sebelum mengalami penurunan tahun lalu.

Beliau menambah pendapatan dari sektor pelancongan juga menurun daripada RM72 bilion pada 2014 kepada RM69.1 bilion tahun lepas.

Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) berhubung statistik pelancongan pada 2011-2015.

Tahun lepas Menteri Pelancongan itu berkata kejatuhan ringgit menjadi petanda baik bagi sektor pelancongan.

Presiden Matta Datuk Hamzah Rahmat sebelum ini berkata penurunan dalam pelancongan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tekanan ekonomi dunia dan tempatan serta ketidaktentuan dalam keadaan politik semasa.