Rafizi dipanggil beri keterangan isu 1MDB
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya semalam.
Rafizi berkata, beliau akan memberikan keterangan kepada pihak polis selewat-lewatnyanya Isnin depan.
Ia ekoran laporan polis yang dibuat Rafizi berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang dalam pembayaran 1MDB, berdasarkan dokumen sulit yang dikatakan dimilikinya.
"Saya telah menerima panggilan dari pegawai penyiasat IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan saya berharap siasatan terhadap Arul Kanda Kandasamy ini boleh berjalan mengikut kaedah undang-undang yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau semalam menyatakan kesediaan direman kerana mendedahkan dokumen bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dengan syarat Arul Kanda turut dilayan sama.
Rafizi sebelum ini nekad mendedahkan dokumen yang menurutnya tertakluk bawah OSA bagi membuktikan dakwaan kaitan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada pesara tentera.
Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak dapat melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang medianya kerana kekangan undang-undang.
Selain itu, setiausaha agung PKR itu turut mempertikaikan kenyataan 1MDB yang menurutnya tidak menyangkal dakwaan dibuatnya.
"Saya mengambil pendirian bahawa kenyataan 1MDB yang tidak menafikan dakwaan saya itu secara tidak langsung mengiyakan bahawa dakwaan saya itu ada asas,” katanya.
1MDB semalam meminta Rafizi berhenti campur tangan dalam proses siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat itu.

