Nancy: Saya tak campur tangan tugas AG
Menteri BN Nancy Shukri berkata, beliau tidak campur tangan dalam tugas peguam negara atau urusan mahkamah.
Menurutnya, beliau juga bukan menteri undang-undang seperti yang sering dilaporkan, tetapi hanya seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sebaliknya, beliau hanya menjawab soalan bagi Jabatan Peguam Negara diparlimen dan perkara berkaitan mahkamah, disebabkan ia sebahagian daripada portfolionya.
"Saya tidak campur tangan kerja Peguam Negara.
"Saya terpaksa semak dengan Peguam Negara sendiri. Beliau boleh berhubungan terus dengan media tanpa melalui saya," kata Nancy kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, apa jua yang dijawabnya adalah berdasarkan undang-undang kerana di negara ini, peguam negara bukanlah wakil yang dipilih, jadi beliau tidak boleh berada di parlimen.
Nancy mengulas kenyataan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang memintanya menasihati Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya membiar mahkamah menentukan sama ada kuasa pendakwaannya adalah mutlak.
Gobind berkata demikian semalam selepas Nancy berkata ahli parlimen tidak boleh menyoal peguam negara secara terus, melainkan peguam negara adalah wakil yang dipilih atau dilantik.
Nancy menegaskan beliau tidak akan menasihati Mohamed Apandi seperti yang disarankan Gobind memandangkan peguam negara lebih arif tentang undang-undang.

