Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir letak jawatan pengerusi Proton
Diterbitkan:  Mar 31, 2016 4:59 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengambil langkah drastik apabila bertindak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings berkuatkuasa semalam.

Menurut kenyataan yang disiarkan di blognya, surat peletakan jawatan dihantar kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

"Dr Mahathir juga melepaskan jawatannya sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas, juga berkuatkuasa pada 30 Mac 2016.

"Keputusannya itu disampaikan kepada Rektor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim," jelas kenyataan itu.

Selain itu, Dr Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai penasihat kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).

"Ketua Setiausaha Negara telah dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu," kata kenyataan itu lagi.

Mahathir sebelum ini mengumumkan keputusan keluar Umno kerana tidak berpuashati dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terutama dalam isu melibatkan 1MDB dan derma politik berjumlah RM2.6 bilion.

Beliau juga mengetuai Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang dan NGO dalam usaha menggesa Najib berundur.

Kabinet pada 11 Mac lalu menamatkan perkhidmatan Mahathir selaku penasihat Petronas kerana berpendapat beliau tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Proton dalam kenyataan berasingan berkata Dr Mahathir juga akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi anak syarikat milik penuhnya, Group Lotus plc.

"Kami menghormati hasrat beliau untuk berundur. Kami ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga Penasihat sejak 2003.

"Kami mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional," katanya.

Lihat Komen
ADS