Eric Chia anggap prosedur kontrak jejas maruahnya, kata saksi
Bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock berkeras dan tidak bersetuju dengan prosedur kontrak yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan kerana menganggap ia menjejaskan maruahnya, demikian Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock berkeras dan tidak bersetuju dengan prosedur kontrak yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan kerana menganggap ia menjejaskan maruahnya, demikian Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Datuk Nik Mohd Affandi Nik Yusoff, bekas pengarah kumpulan Perwaja, berkata dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 30 Mei 1993, Chia meminta lembaga itu menangguh pelaksanaan prosedur kontrak itu.
Menurut laporan Bernama , Nik Affandi, 61, berkata Chia juga melahirkan rasa kurang puas hati terhadap pelaksanaan prosedur itu kerana ia akan melambatkan proses tawaran dan penerimaan kontrak.
Katanya, Chia menjelaskan, pelaksanaan prosedur kontrak itu akan memberi gambaran kepada kakitangan Perwaja dan pihak swasta yang berurusan dengannya, bahawa beliau telah melakukan kesalahan.
Nik Affandi merupakan saksi pendakwaan ke-22 dalam perbicaraan kes pecah amanah Chia, yang juga bekas pengarah urusan Perwaja Rolling Mill dan Development Sdn Bhd.
Chia, 73, didakwa dengan curang meluluskan pembayaran RM76.4 juta kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd di Hong Kong, bagi bantuan teknikal untuk projek "Beam and Section Mill Plant" di Gurun, sedangkan tiada bayaran seperti itu yang patut dibuat.
Secara alternatif, beliau dituduh dengan curang melupuskan dana itu dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation dan meluluskan bayaran jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu selaku pengarah urusan Perwaja Rolling Mill dan Development Sdn Bhd di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P Ramlee di Kuala Lumpur antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
Prosedur kontrak
Pada 29 Jan 1993, Kementerian Kewangan meluluskan prosedur kontrak yang sangat fleksibel, yang menggariskan tiga perkara utama, antaranya, tender melebihi RM15 juta dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan kementerian.
Prosedur kontrak juga memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk mempertimbang dan meluluskan rundingan langsung bagi kerja yang segera hasil perakuan Jawatankuasa Tender.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Nordin Hassan, Nik Affandi diminta untuk membaca tajuk berbunyi: "Prosedur Kontrak di Perwaja" dan kandungannya: "Apabila saya (saksi) menduduki Lembaga Pengarah Perwaja, saya mendapati semua soal kontrak (tanpa sebarang had maksima) diserahkan kepada pengarah urusan kumpulan Perwaja. Chia mendapatkan tawaran, berunding dengan kontraktor dan menandatangani kontrak sebelum
dilaksanakan.
"Senarai kontrak-kontrak itu, dengan hanya disebut nama kontraktor, jenis dan nilai, dikemukakan kepada lembaga pengarah hanya untuk disahkan".
Nik Affandi, yang juga pernah memegang jawatan Pengarah Bahagian Pengawasan Syarikat-syarikat Sektor Awam (BPSSA) di Kementerian Kewangan, berkata selepas menyediakan memorandum itu pada 12 Jun 1993, beliau mengadakan perbincangan dengan bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghuraikan keputusan lembaga pengarah Perwaja.
Lembaga Pengarah Perwaja bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan prosedur kontrak itu.
Pandangan Anwar
"Bekas Menteri Kewangan juga ingin berbincang dengan Chia untuk mendapatkan pandangan tetapi Anwar mahu prosedur kontrak itu dikekalkan," katanya.
Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah mengenai surat pekeliling Perbendaharaan bilangan 11 tahun 1995 bertajuk: "Keperluan merujuk dan mendapatkan persetujuan Kementerian Kewangan terhadap semua tender bernilai RM15 juta dan ke atas".
Surat pekeliling itu, yang merupakan keputusan kerajaan, bertujuan untuk mengawasi perjalanan dan aktiviti-aktiviti di luar perbelanjaan syarikat-syarikat kerajaan dalam urusan pengendalian kewangan atau tender, katanya.
Bagaimanapun, Nik Affandi berkata Chia agak keberatan mematuhi arahan-arahan dalam surat pekeliling itu, dan mencadangkan satu pengecualian terhadap surat itu.
"Kementerian Kewangan membenarkan pengecualian bagi mendapatkan kelulusan dari kementerian untuk projek atau belian bernilai RM15 juta dan ke atas. Kesemua keputusan muktamad diserahkan kepada Lembaga Pengarah selepas disyorkan oleh jawatankuasa tender," katanya.
"Setelah mendapat persetujuan menteri, saya menulis surat kepada Chia, menyampaikan keputusan menteri. Chia sekali lagi melahirkan rasa kurang puas hati atas penubuhan jawatankuasa Tender serta mencadangkan penangguhannya," katanya.
Pembelaan diketuai oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah. Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir disambung Khamis ini.

