Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihak polis kini sedang mengumpulkan sebanyak mungkin bukti bagi sabitan kes terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nur Jazlan berkata tindakan terhadap bekas presiden Umno itu hanya akan diambil setelah polis berpuas hati bagi membolehkan kes tersebut berjaya dibuktikan di mahkamah.

Nur Jazlan berkata demikian mengulas sindiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali bahawa beliau takut kepada Mahathir.

“Soalnya sekarang Tun M mengaku secara umum ingin jatuhkan perdana menteri, mengaku bantu Sirul (Azhar) dan sebagainya yang ada kesan dari segi perundangan dan biarlah polis siasat.

“Jadi, bila polis ambil tindakan daripada kita nak kumpul satu kesalahan lebih baik kita kumpul 10 ke 20 kesalahan. Lagi banyak dia bercakap lagi beliau buat.

“Bila polis dah puas hati (baru ambil tindakan) dia orang (polis) pun nak pastikan kalau boleh dibuat pendakwaan pun biarlah ia berjaya dalam mahkamah,” kata Nur Jazlan berkata kepada pemberita selepas majlis pelancaran sistem pengiriman wang melalui potongan gaji, di Putrajaya, hari ini.

Azmin: Dengan Mahathir pun nak takut?

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata tidak ada sebab untuk menangkap Mahathir bawah Akta Hasutan (1948) hanya kerana mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kenapa dia (Mahathir) nak kena tahan? Dengan Dr Mahathir pun nak takut," kata Azmin ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Shah Alam, semalam.

Mengulas lanjut apakah tindakan polis mengumpul bukti bagi mendakwa Mahathir dengan kesalahan yang lebih berat bagi menyekat terus beliau terus bersuara, Nur Jazlan berkata:

“Tidak, kita tak sekat dia (bercakap), sekarang ini kita bagi dia bercakap dan terus bercakap. Mungkin polis nak kumpul bukti supaya kes yang lebih berat boleh dikenakan kepada Tun M,” kata Nur Jazlan.

Kelmarin, Nur Jazlan berkata Dr Mahathir boleh dianggap menghasut kerana mengeluarkan kenyataan untuk bertindak "di luar jangkaan” untuk menjatuhkan Najib.

Menurutnya, polis akan menyiasat pelbagai kenyataan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dan sekiranya keputusan siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka tindakan akan diambil.